Wednesday, December 18, 2013

Jangan naikkan harga kuda !!

Baru-baru ini kerajaan Malaysia dengan tertibnya telah mengambil langkah untuk mengurangkan subsidi minyak dan menaikkan harga tol. Tindakan yang penuh dengan unsur-unsur kemanusiaan ini diambil setelah dikhabarkan bahawa perkara ini telah termaktub di dalam kitab perjanjian sebelum ini di antara pihak kerajaan dengan pihak konsesi tol dan tidak boleh dilanggar, jika tidak bala akibatnya.



Kudaku lari gagah berani ..

Sebagai rakyat yang prihatin, patik memahami permasalahan ini dan bersimpati dengan menteri-menteri di pihak kerajaan yang sudah semestinya tidak tidur malam memikirkan nasib rakyat. Keputusan sebegini sudah tentunya sukar dibuat oleh mereka, apatah lagi mereka merupakan pejuang rakyat yang unggul. 

Sebagai seorang rakyat yang mengenang jasa dan tahu bersyukur, patik telah menemui alternatif kepada permasalahan ini. Jika tuan-tuan berfikir bahawa jawapannya ialah “tidak tak nak bayar tol, guna jalan biasa” ataupun “taknak minyak naik, gunalah tenaga solar”, sungguh salah telahan tuan-tuan kerana patik tidaklah sepandai menteri-menteri yang ada diantaranya belajar di New Zealand dan mendapat CGPA 4.0. Jawapan kepada permasalahan lebih ringkas iaitu sejenis pengangkutan darat yang tidak memerlukan subsidi gula, minyak, elektrik ataupun tol dari kerajaan. Ianya ialah kuda.

Ya betul, kuda. Sebagai rakyat yang sering diperkudakan oleh pihak kerajaan yang memerintah, kuda bukan sahaja boleh menjadi haiwan tunggangan yang efficient tetapi juga simbol kepada prinsip dan pegangan kita yang sering dikudakan dengan bersahaja oleh kerajaan. 


Cadangan ini mungkin dipandang remeh oleh sesetangah pihak, namun jika diteliti dengan sedalamnya, idea ini tidaklah seteruk yang disangka.  Kuda merupakan kaedah pengangkutan yang mesra alam, lebih baik daripada kereta hybrid di pasaran.  Tuan-tuan tidak perlu beratur berjam-jam di kaunter JPJ untuk mendaftar kuda tuan di MySikap.  Dengan mempunyai hanya satu kuasa kuda, jadi besar kemungkinan tuan-tuan tidak akan disaman oleh AES kerana top speed kuda-kuda ini jarang mencapai 110 km/sejam.

Namun begitu, terdapat beberapa kesulitan yang patik kenal-pasti. Di negeri Selangor misalnya, mungkin berlaku krisis kebersihan alam semulajadi disebabkan bahan buangan dari kuda-kuda yang digunakan. Ini kerana, krisis air dan juga masalah pungutan sampah mungkin menyebabkan najis-najis kuda ini sukar dibersihkan. Begitu juga jika tuan-tuan tinggal di sekitar Gebeng, Pahang. Kuda tuan-tuan mempunyai risiko mati mengejut dsebabkan radiasi dari kilang Lynas berhampiran ataupun bermutasi menjadi Unicorn. 


Mungkin beginikah keadaan rush-hour traffic nanti?

Secara keseluruhannya, menjadikan kuda sebagai kenderaan alternatif dilihat sebagai jalan penyelesaian kepada permasalahan yang dialami rakyat sekarang ini. Cuma sedikit pertimbangan perlu dibuat bagi sesiapa yang tinggal di apartmen ataupun kondominium kerana tidak seperti lembu, yang memerlukan kos RM250 juta untuk dibela di dalam kondominium, kuda tuan-tuan mungkin dicuri jika dibiarkan berkeliaran tanpa pengawasan dan berkemungkinan ditembak oleh pihak polis. 

Diharapkan pihak kerajaan mampu mengawal harga kuda dipasaran bagi membantu masalah yang dihadapi sekarang ini. 

Diharapkan cadangan ini mendapat pertimbangan sewajarnya dari pihak memerintah.

Jangan naikkan harga kuda !! 

No comments:

Post a Comment

infolinks