Friday, December 20, 2013

Robosourcing pembunuh golongan berpendapatan rendah?

Tajuknya mungkin persis filem-filem sains fiksyen futuristik bukan?

Hakikatnya, ianya bukan lagi sains fiksyen. Ianya satu fenomena global dan hanya masa yang menentukan bila kita sebagai rakyat Malaysia sedar akan perubahan yang sedang melanda dunia ini. Kemungkinan besar bila kita menyedarinya, ianya sudah terlambat.

Apa itu "Robosourcing" ?


Mesin-mesin pengeluar di kilang kereta

Patik percaya ramai yang pernah dengar ataupun faham akan konsep "outsourcing". Di mana negara-negara maju memindahkan kilang-kilang mereka pengeluaran ataupun perniagaan mereka ke negara-negara berpendapatan rendah tetapi menawarkan khidmat kerja yang berpatutan. Contohnya seperti Apple yang memindahkan kilang operasi mereka ke China. Ini semua dilakukan untuk menjimatkan kos.

Tapi apa itu robosourcing? Konsepnya sama. Cuma apa yang dipindahkan adalah tenaga kerja manusia. Dalam robosourcing, tenaga kerja manusia digantikan dengan mesin-mesin pengeluaran untuk menjimatkan kos.



Apakah implikasinya?

"In the next two years, Foxconn, one of the powerhouses of South East Asia and maker of the iPhone will replace their workers with two million robots. This is a trend that is seeing massive growth across the globe as the drive for profit by large corporations continues to dominate in a flat and unsettled market"

Sifirnya cukup mudah. Mesin-mesin yang digunakan untuk menggantikan tenaga kerja manusia ini akan menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Kenapa golongan berpendapatan rendah?

Kita sedia maklum, kebanyakan rakyat berpendapatan rendah kebanyakannya adalah pekerja tidak berkemahiran ataupun kurang berkemahiran (low skill workers). Contohnya di kilang pengeluaran, kerja-kerja memasang komponen kereta misalnya. Jika dulu perkerja-pekerja tenaga manusia digunakan secara meluas tetapi kini kebanyaknnya sudah digantikan dengan mesin-mesin yang berteknologi tinggi. Hal ini juga berlaku di kilang-kilang lain.

Tetapi tidak ramai yang bekerja di kilang

Betul. Tidak semua golongan berpendapatan rendah bekerja di kilang. Tetapi idea robosourcing ini sudah mula diperluaskan ke sektor-sektor lain. Dengan kemajuan teknologi yang pesat kini, tidak lama masa yang diperlukan untuk robot atau mesin-mesin baru yang lebih canggih dan effisien dihasilkan.

Sektor-sektor pekhidmatan khususnya adalah yang paling akan mendapat kesan langsung. Contohnya seperti perkerja tol dan pekerja restoran makanan segera, mereka akan digantikan dengan mesin-mesin yang mampu mengambil pesanan pelanggan tanpa memerlukan tenaga manusia. Pemandu kenderaan seperti bas. lori dan teksi pula akan digantikan dengan kereta yang dipandu mesin. Kereta pemanduan-sendiri Google contohnya telah berjaya bergerak sejauh lebih dari 100km kini di California tanpa sebarang kemalangan.

Perkembangan software juga menyebabkan mesin-mesin yang bakal dicipta di masa depan akan memunyai fungsi yang lebih kurang sama dengan tenaga kerja manusia. Integrasi perisian dan mesin di masa depan semestinya akan mampu menghasilkan robot-robot yang mampu menjalankan berbagai-bagai fungsi manusia.

Tdak mungkin. Mesin tidak mampu menggantikan manusia.

Amazon kini telah mencuba pekhidmatan penghantaran menggunakan drone. Drone-drone ini bakal menggantikan pekerja-pekerja pos dan juga penghantar barang.

Malangnya, ia mampu dan bakal digunakan. Mesin mempunyai banyak kelebihan berbanding manusia. Mereka tidak tidur, letih, lebih pantas, tidak melakukan kesilapan dan tahan lama, kilang-kilang boleh berfungsi 24-jam sehari tanpa cuti!. Syarikat-syarikat besar kini hanya menunggu mesin-mesin ini dicipta dan apabila tiba masanya itu, tenaga manusia akan dilupuskan.



Mesin juga tidak perlu dilayan seperti manusia yang mana perlu dibayar gaji, dibayar KWSP, dan bermacam-macam lagi. Hanya perlu beli mesin, dan jika rosak, buang dan beli yang baru.

Kesudahannya?

Robosourcing ini adalah impian bagi syarikat-syarikat pengeluar. Kos pengeluaran akan menurun dan penghasilan mereka akan berlipat berkali-kali ganda. Mereka akan semakin kaya dan golongan berpendapatan rendah ini akan semakin terus terhimpit. Dan jurang pemisanh anatara mereka akan terus menjadi lebar.

Dan akhirnya golongan berpendapatan rendah ini mungkin akan hilang sama sekali dari pandangan.

Tetapi masih ada sinar harapan. Kerajaan Malaysia sekarang haruslah pro-aktif dan mempunyai tindakan pembangunan terancang untuk mengatasi fenomena ini. Jangan hanya bila ianya sudah full-blown baru hendak mengambil tindakan. Ini kerana cara yang terbaik untuk mengatasi kemelut robosourcing ini adalah melatih semua pekerja-pekerja berkemahiran rendah ini. Mereka harus dilatih dengan berbagai-bagai kemahiran agar mereka mampu berdikari jika peluang kerja mereka dikurangkan. Hanya dengan kemahiran-kemahiran baru yang dipelajari ini baru mereka dapat berdikari dan mengurangkan kebergantungan mereka.

Berikan insentif untuk menggalakkan mereka belajar kemahiran baru. Jika mereka mahu, mereka boleh meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Kerajaan harus mempunyai perancangan awal kerana semua ini mengambil masa. Dan bila tibanya robosourcing ini mula memberi kesan kepada Malaysia, golongan-golongan berpendapatan rendah ini sudah bersedia.

Ambil peluang. Jika peluang pekerjaan mereka digantikan oleh robot dan mesin. Ajar mereka cara untuk membaiki dan menyelenggara mesin-mesin tersebut. Jika ada mesin-mesin ini menggunakan perisian, ajar mereka untuk menyeleggara komputer dan juga perisian-perisian yang digunakan.

Apabila sesuatu peluang kerja itu dipenuhi ataupun dihapuskan, selalunya akan ada peluang pekerjaan baru yang akan dicipta. Yang penting, kita haruslah bersedia.

Jangan lagi berpolemik seperti "Pertanian adalah sumber pendapatan yang lumayan". Ya betul, ianya lumayan, tetapi jika ramai yang diberhentikan kerja di bandar, Malaysia tidak mempunyai cukup tanah untuk dikerjakan di kampung. Malahan sekarang ini pon sudah banyak mesin-mesin pertanian digunakan.

Lihat ke depan.




No comments:

Post a Comment

infolinks