Tuesday, December 17, 2013

Siapa aku di hatimu?

Tajuknya mungkin berunsur romantis, namun tiada apa yang romantik mengenai kenaikan harga tol baru-baru ini. Sedia maklum, tol hanya terdapat di bandar-bandar besar dan selalunya di kawasan Kuala Lumpur dan sewaktu dengannya. Persoalannya, di waktu kerajaan sekarang yang sedang bergelut dengan kurangnya populariti di kalangan pengundi yang waras, mengapa mereka begitu berani untuk membuat keputusan yang dianggap menggali kubur sendiri? Dan jawapan yang diberikan oleh menteri berkaitan seperti "taknak bayar tol, guna jalan biasa" menandakan bahawa kerajaan sudah tidak peduli akan reaksi dari pihak yang memberikan mereka kuasa, iaitu rakyat. Tapi kenapa? Jika dilihat dari sudut politik, tindakan-tindakan ini adalah tindakan yang salah dan bakal menyebabkan populariti mereka jatuh mendadak. Tapi menapa mereka tidak peduli?

Jawapannya mungkin senang dan tidak sesusah yang difikirkan. Jika dilihat kepada keputusan pilihanraya umum yang lepas, parti memerintah kalah teruk di kawasan-kawasan bandar, dan trend ini dilihat akan berterusan untuk pilihanraya akan datang. Jadi, untuk menghapuskan penentangan ini, pihak memerintah menaikkan kos sara hidup, yang semestinya akan memberi kesan terbesar kepada golongan pertengahan di bandar. Pihak memerintah takut jika trend ini akan merebak ke kawasan-kawasan luar bandar, jadi dengan menambahkan beban golongan pertengahan di bandar-bandar, pengaruh mereka akan dapat dihalang. Pihak memerintah sudah tidak peduli jika mereka tidak lagi berkuasa di bandar-bandar, yang penting pengaruh anti-parti memerintah ini tidak sampai ke kampung-kampung.

Cuba bayangkan apa akan berlaku jika tarif elektrik, harga minyak, harga tol, inflasi dan bermacam-macam lagi tidak naik. Apa akan berlaku? Sudah semestinya golongan bandar yang kebanyakannya anti-parti memerintah akan menjadi lebih kuat. Mereka boleh berfikir untuk mencorak dan membangun negara kerana merekalah barisan hadapan pembangunan negara. Tetapi apa yang berlaku sekarang, dengan kos sara hidup yang meningkat ini, golongan-golongan bandar ini tidak dapat tidak akan terpaksa menumpukan hidup mereka untuk mencari rezeki dan menampung keperluan, dan idea untuk mengubah dan membangun negara terpaksa dilupakan.

Berita buruknya ialah, pihak memerintah tidak akan berhenti setakat ini. Selepas ini bermacam-macam lagi polisi akan dilaksanakan untuk mencengkam rakyat di bandar-bandar agar mereka terus lemah. Kelemahan golongan bandar ini dilihat amat penting untuk menghalang gerakan anti-parti memerintah ini dari terus berkembang.

Jika dilihat sekarang ini bermacam-macam insentif dan plan pembangunan dirancang untuk golongan luar bandar, Mereka di luar bandar tidak akan menerima kesan langsung dari kenaikan kos sara hidup seperti mereka di bandar. Pihak pemerintah tidak akan berani untuk melakukannya. Mereka merupakan deposit bagi pihak pemerintah, dan polarisasi ini terus akan berterusan.

Patik tidaklah tinggal di bandar-bandar besar, tidaklah berkerja hebat-hebat. Patik hanya tinggal di kampung, berlatarkan gunung-ganang dan bertemankan lembu di sawah. Kehidupan yang ringkas. Tetapi keceleruan yang berlaku sekarang terlalu jelas, sehingga tiada mata yang mampu di palingkan lagi.

Ramai yang beranggapan bahawa pemerintah kita ini lemah dan kurang cerdik. Tanggapan itu salah sama sekali. Mereka pandai dan bijak mengatur strategi, jika tidak, mana mungkin mereka mampu memerintah negara ini berpuluh-puluh tahun.










No comments:

Post a Comment

infolinks