Sunday, December 29, 2013

Pengalaman: Kisah seorang pemandu bas

Patik selalu berulang-alik dari ipoh ke shah alam sewaktu di Ipoh tidak lama dahulu. Perjalanannya tidaklah jauh, mengambil masa dalam 2-3 jam sahaja. Mungkin sebab itu ramai juga warga Ipoh yang berulang-alik berkerja di Kuala Lumpur.

Menaiki bas merupakan pilihan patik adalah kerana ianya menjimatkan. Bayangkan tol sahaja sudah hampir RM50 jika membawa kereta sendiri tidak termasuk harga minyak. Lagipun dengan adanya kemudahan stesen bas yang baru di Ipoh (Terminal Amanjaya), patik senang untuk meninggalkan kereta dengan jaminan keselamatan.


Ada satu pengalaman yang patik ingin kongsikan bersama tuan-tuan sewaktu patik menaiki bas ini

Patik masih ingat. Ketika itu patik dalam perjalanan balik ke Shah Alam pada malam Ahad. Seperti biasa patik mengambil tiket terakhir iaitu pada pukul 945 malam. Seperti biasa bas sampai pada masanya dan bergerak balik ke Ipoh.


Perjalanannya nampak seperti biasa. Gelap malam, sunyi dan patik sudah tertidur sebaik sahaja keluar dari Guthrie highway masuk ke Plus.Waktu itu sekitar pukul 10 lebih.

Namun begitu, mungkin ada sebabnya, patik terjaga sekitar pkl 1130. Suasana di dalam bas sunyi kerana kebanyakan dari mereka sudah tertidur. Patik cuba untuk melelapkan mata kembali namun tidak berjaya. Setelah beberapa ketika kebosanan di dalam bas tiba-tiba patik terkejut apabila bas yang patik naiki hampir melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan. Bas tersebut tiba-tiba meluncur laju ke arah penghadang besi itu namun nasib baiklah beberapa kaki sahaja dari penghadang tersebut pemandu bas tersebut berjaya membetulkan kembali kedudukan bas .



Patik terkejut dengan apa yang berlaku tapi tiada suara yang kedengaran di dalam bas kerana mungkin semua penumpang sudah tidur. Patik perasan di waktu itu bas tersebut kadang laju dan kadang perlahan.bas itu juga terhuyung hayang ke kiri dan kanan jalan. Nasib baiklah waktu itu hampir tengah malam dan tidak banyak kenderaan di atas jalan raya. Patik berasa tidak sedap hati lalu bangkit sedikit dari kerusi untuk melihat apa yang berlaku di hadapan. Patik berasa di barisan ketiga dari hadapan, maka senanglah untuk melihat keadaan pemandu bas tersebut.

Alangkah terkejutnya apabila patik melihat pemandu bas tersebut sedang tersengguk-sengguk menahan mengantuk dan kadang-kala terus terlelap.Dia sudah tidak mampu melihat ke hadapan kerana mengantuk.

lalu patik bangun dari tempat duduk dan menuju ke hadapan. Setelah sampai ke kerusi pemandu patik memegang bahunya dan berkata;

"pakcik ok?"

Dia yang seakan-akan terkejut terus berpaling ke arah patik dan berkata dia ok cuma sedikit mengantuk. Lalu patik mengambil keputusan untuk menemani pakcik pemandu bas itu dan duduk di sebelahnya. Dia seakan-akan sedikit takut kerana mungkin bimbang patik akan memarahinya atas apa yang berlaku sebentar tadi.

Patik duduk si sebelahnya di atas tangga bas dan mula membuka cerita untuk menemaninya. Lagipun perasaan mengantuk patik sudah hilang akibat terkejut ketika bas itu hampir melanggar penghadang jalan. Maka patik pun mulalah membuka cerita untuk mengisi suasana. Dari pengalaman hidup di Ipoh hinggalah ke Liga Super Malaysia.

Lalu di tengah-tengah perbualan itu patik bertanyakan mengenai kisahnya memnadu bas. Pemandu bas tersebut berusia sekitar lewat 40an. Dia sudah memandu bas selama jika tidak silap patik 15 tahun. Dulu dia membawa bas jarak jauh ke Thailand tapi kini beralih ke bas jarak kurang jauh sedikit atas alasan keluarga. Lantas patik bertanyakan mengenai keluarganya. Dia merupakan bapa kepada 6 orang anak. Semuanya masih bersekolah. Syif perjalanan bas yang dibawanya patik kurang pasti tetapi sekitar 7 pagi hinggalah 12 malam (patik kurang pasti kerana patik sudah kesejukan oleh aircond bas pada waktu itu). Namun, yang pasti patik masih ingat yang dia memberitahu bahawa masa berehat diantara syif itu hanyalah sejam dan kadang-kadang tidak ada langsung jika bas itu terlambat disebabkan traffic jam atau sebagainya. Jadi kadang-kadang dia terpaksa membawa bas tanpa ada masa rehat. Membawa bas adalah perkerjaan yang sangat meletihkan kerana ianya tidaklah seperti memandu kereta. Sudah banyak permintaan dan aduan dibuat ke pihak atasan namun seprti biasa, tidak dilayan.


Di tengah-tengah perbualan itu dia bertanyakan patik mengenai pekerjaan patik. Setelah patik memberitahu patik merupakan seorang doktor, dia pon meminta pandangan patik mengenai anaknya yang kini kurang sihat.

Anaknya yang bongsu kini berusia sekitar setahun lebih. Dimasukkan ke wad kanak-kanak kerana kekurangan zat. (Ya, di Malaysia ini masih banyak kanak-kanak yang kekurangan zat makanan). Syukut Alhamdulillah, kini keadaan anaknya itu sudah sedikit baik setelah dirawat dan diberi nasihat oleh doktor di hospital. Patik bertanya lagi bagaimana keadaaan anak-anak yang lain dan pemandu bas itu memberitahu semua anaknya mempunyai masalah sama.

Ini bukan pertama kali patik mendengar cerita seperti ini. Sewaktu di wad kanak-kanak dahulu banyak yang kekurangan zat. Ini menyebabkan pertumbuhan fizikal dan mental mereka terbantut. Selalunya mereka ini berasal dari golongan yang susah dan kurang berpendapatan.

Patik pun bertanya mengenai kehidupan pemandu bas tersebut. Dia bercerita bahawa setelah balik ke Ipoh pada pukul 1230 nanti dia akan terus pulang ke rumah. tapi selalunya disebabkan keletihan maka susah untuk dia tidur. hanya tidur sekejap. pada pukul 6 pagi dia sudah terpaksa bangun untuk menyiapkan anak-anaknya dan menghantar mereka ke sekolah. Selepas itu pergi berkerja seperti biasa untuk mencari nafkah.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Patik berasa tidak terdaya untuk menolong. Sekadar mampu memberi nasihat untuk anaknya yang kurang sihat itu. Namun patik tahu, untuk membeli satu tin susu untuk anaknya sudah menjadi satu beban besar buatnya. Patik tahu, makanan biasa seperti ayam, ikan dan daging adalah satu kemewahan bagi mereka.

Pengalaman ini banyak membuka mata patik.

Kadang-kadang kita lupa benda yang kita anggap sebagai keperluan adalah kemewahan bagi sesetengah yang lain. Kadang-kadang kita sombong dengan rezeki yang Allah beri kepada kita. Tidak semua orang yang kurang berkemampuan itu malas berusaha, malah ramai dari mereka yang gigih berusaha untuk menyara kehidupan. tetapi, rezeki itu Allah yang menentukan.

Sebab itu apabila membaca saranan seorang tokoh motivasi baru-baru ini agar golongan yang dihimpit kesusahan ini berusaha lebih gigih, patik merasa amat marah. Sangat marah. Ditambah pula dengan bermacam-macam kenaikan yang diumumkan baru-baru ini oleh kerajaan. Manusia ini mudah hanyut dengan rezeki dari Allah.

Segah dan sehebat manapun kita, kita masih manusia

Ingatlah, kelebihan yang diberikan oleh Allah yang membuatkan kita berdiri tinggi.



Berdiri tinggi bukanlah untuk kita memijak-mijak orang lain, tetapi adalah satu tanggungjawab agar kita mampu mengangkat orang lain yang jatuh untuk turut sama berdiri.

Sesudah sampai di Ipoh, pemandu bas itu turun dan mengucapkan terima kasih. Patik tersenyum kepadanya dan berkata "Jumpa lagi". Patik tahu bukan salahnya apabila bas hampir melanggar penghadang jalan tadi, dia hanyalah seorang yang berkerja ikhlas mencari rezeki halal untuk menyara keluarganya dan kesempitan serta tekanan hidupnya yang menyebabkan kejadian tadi. Bukan salah pemandu bas tersebut

No comments:

Post a Comment

infolinks